Friday, June 4, 2010

Ingat, Lupa atau Takut Mati?
(Sumber petikan daripada: Pahrol Mohd Juoi, Solusi Isu # 8, muka surat 14)

Dalam Islam kita tidak disuruh untuk takutkan mati. Sebaliknya kita disaran untuk selalu mengingati mati. Demikian itu adalah anjuran Rasulullah s.a.w dalam banyak hadisnya. Antaranya, Baginda pernah bersabda:
“Cukuplah kematian itu sebagai peringatan.”
Daripada Ibnu Umar, bertanya seorang Ansar kepada Rasullulah, “Wahai Nabi Allah, siapakah orang yang paling cerdik dan paling teguh?”
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mereka yang banyak mengingati mati dan bersedia untuknya, mereka itulah orang yang cerdik.” (Kitab Baghyatul Haris, vol. 1)
Berdepan dengan ‘isu’ kematian, kita dapat melihat manusia umumnya boleh dikategorikan kepada tiga:
Ø Orang yang lupa mati.
Ø Orang yang takut mati.
Ø Orang yang ingat mati.

Orang yang lupa mati

Orang yang begitu benci dengan kematian akan cuba melupa-lupakannya agar dia dapat terus bergembira dengan kehidupannya. Mati baginya seolah-olah tidak perlu difikirkan sangat. Soal dosa dan pahala dianggap remeh, dan amat mengganggu dalam usahanya untuk meraih kenikmatan dan kesenangan duniawi.
“Kalau asyik ingat mati sahaja, macam mana kita nak maju dan nak berjaya?” Begitulah antara dakwaan yang biasa kita dengar daripada lidah mereka. Itulah prinsip songsang yang dijadikan pegangan hidup mereka.
Mereka akan ingat mati, hanya apabila mereka ditimpa sakit tenat atau mengalami kemalangan. Itupun bukan kerana memikirkan nasib dirinya yang akan “meninggalkan” dunia, tetapi lebih dibimbangkan nasib ahli keluarga dan dunia yang akan “ditinggalkan”. Siapa yang akan menjaga isteri, anak-anak, saham, syarikat atau perniagaannya?
Dia bukan bersedih kerana perjalanan panjang yang bakal dilaluinya di hadapan (akhirat), tetapi bersedih dengan perjalanan yang bakal ditinggalkannya di belakang (dunia). Padahal jika dia sedari apa yang akan dihadapinya selepas mati, pasti dia akan menangisi nasib dirinya sendiri bukan orang lain!
Sikap lupa mati ini disebabkan keyakinan (iman) yang amat tipis kepada Allah dan hari Akhirat. Lingkungan fikiran mereka hanya sebatas persoalan fizikal dan material. Alam roh, alam barzakh, mahsyar, akhirat, syurga atau neraka yang tidak terjangkau oleh pemikiran, dinafikan. Apabila diperingatkan tentang kematian, mereka mencebir dan mencemik, “Kalau ingat mati sahaja, bila hendak maju?”
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pergi ke masjid, tiba-tiba ada sekelompok orang ramai sedang asyik bergurau dan ketawa, lalu baginda bersabda: “Ingatlah mati! Demi Zat yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, kalau kamu tahu apa yang aku ketahui, tentulah kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis.”
Mengenai nasib golongan yang lupa mati, pernah suatu ketika sahabat bertanya Baginda keadaan seseorang yang selalu disebut-sebut namanya. Mereka sering memuji lelaki tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. bertanya, “Bagaimana temanmu itu dalam soal mengingati kematian?” Mereka menjawab, “Kami hamir tidak pernah mendengarnya mengingati mati.”
Rasulullah s.a.w. lantas bersabda: “Sesungguhnya temanmu itu tidak ada di sana (kebaikan).”

Orang yang takut mati

Golongan ini ingat mati, namun kesan ingatan itu sangat negatif. Mereka bukan mendapat ‘peringatan’ dari kematian bahkan ketakutan yang amat sangat. Kematian bagi orang yang takut mati begitu membimbangkan. Mati menjadi trauma yang begitu meresahkan. Mengapa perlu ada mati? Ke mana pergi setelah mati? Alangkah baiknya jika mati itu ‘mati’?
Mengingatkan kematian menyebabkan fikiran, jiwa, perasaan malah segala anggota badannya menjadi lemah tidak berdaya. Ia jadi murung dan pemenung. Apa yang dibuat serba tidak ceria dan tidak lagi bersemangat untuk hidup dan bekerja. Apa gunanya, nanti semua itu akan ditinggalkan jua? Begitu bisik hati mereka.
Pernah anda bertemu dengan orang yang sakit barah atau sakit kronik yang yang diramalkan hanya ada beberapa tahun atau bulan untuk hidup? Jika mereka tidak mendapat tarbiah rohaniah yang betul pasti mereka sudah ‘mati’ sebelum mati. Hilang semangatnya untuk menghabisi sisa-sisa nyawanya. Hidupnya muram, hilang makna. Dan acap kali jika berterusan begitu mereka mati lebih awal daripada yang dijangkakan!
Takut mati bukan hanya menimpa orang yang mengalami penyakit kronik, malah orang yang sihat juga ramai yang takutkan mati. Akibat jiwa yang mati mereka hidup seperti yang sering disebut dalam pepatah Melayu – hidup segan mati tak mahu. Orang bijaksana juga sering mengungkapkan bahawa si pengecut mati beberapa kali sebelum mati sebenarnya. Manakala orang berani tidak pernah ‘mati’ – the brave never die!
Sikap takutkan mati ini berpunca daripada kurang ilmu tentang kematian. Pepatah Arab ada menyebut, “Manusia menjadi musuh pada apa yang tidak diketahuinya.” Golongan ini memusuhi kematian kerana mereka tidak ada ilmu tentangya. Orang yang begini takut mati kerana dia tidak tahu ke mana ‘dirinya’ akan pergi selepas mati. Apa perlunya mati itu? Apa yang terjadi menjelang kematian, semasa, dan selepasnya?
Jadi, mereka perlu disedarkan bahawa mati itu bukan pengakhiran tetapi hanyalah satu proses perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Kematian hakikatnya adalah satu proses perpindahan – sama seperti kelahiran. Yang harus ‘ditakutkan’ bukanlah perpindahan itu tetapi apakah bekalan dan persiapan untuknya telah disediakan?
Ada juga yang takut mati disebabkan dosa-dosanya. Dia begitu bimbang menghadapi pembalasan atas segala kejahatan yang dilakukannya. Akibat kalah dalam melawan hawa nafsu, hidup diburu rasa takut bertemu dengan Allah dan pembalasan-Nya. Mereka ini begitu takut menghadapi mahkamah Allah, Hakim yang Maha Adil.
Tidak ada penawar bagi golongan ini melainkan menyegerakan taubat dengan segala syarat-syaratnya. Hanya selepas bertaubat, rasa takut mengahadapi kematian itu akan hilang secara beransur-ansur. Bersedialah menghadapi kematian dengan bertaubat atas segala dosa.
Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya, “Adakah setiap kamu ingin masuk syurga?” Jawab mereka, “Ya.” Kemudian Baginda s.a.w. bersabda, “Pendekkan angan-anganmu dan malulah kepada Allah.” Mereka (para sahabat) berkata: “Kami telah malu kepada Allah.” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Demikian itu bukanlah malu sebenarnya. Akan tetapi malu kepada Allah ialah apabila engkau dapat mengingati kubur dan seksanya…”

Orang yang mengingati mati

Ulama Nusantara yang terkenal, Hamka menulis: “Orang yang ingat kematian dengan akal dan hikmahnya, tidak ubah seperti orang yang ingin pergi haji. Selama dalam perjalanannya dia tidak lupa bahawa dia akan menunaikan haij. Dihafal manasik, disediakan bekalan dan belanja, jangan sampai hajinya kecewa.”
Begitulah… Seperti orang yang mengerjakan haji. Fikiran tertumpu pada matlamatnya. Tidak banyak was-was dan panjang angan-angan lagi. Masa dirasakan sebagai nyawa yang tidak akan disia-siakan melainkan untuk melainkan sebanyak-sebanyaknya kebaikan dan ketaatan. Inilah rahsia mengapa Rasulullah s.a.w. menganjur umatnya supaya sentiasa mengingati mati.
Ingat mati bukan sesuatu yang pasif dan jumud bahkan sesuatu yang aktif, dinamik, dan produktif. Bukan soal kematian itu sahaja yang menjadi fokus tetapi bekalan untuk melalui dan melepasinya itu yang lebih utama. Hal ini kerana persediaan untuk ‘hidup selepas mati’ adalah dilakukan semasa hidup, yakni sebelum mati.
Alhasil, seseorang yang ingat mati akan melakukan segala sesuatu dengan terbaik. Dia merasakan peluang untuk melakukan kebaikan itu adalah yang terakhir buatnya. Bagaimana perasaan kita sekiranya kita ‘mengetahui’ solat yang akan kita dirikan adalah solat yang terakhir? Atau salam kita dengan ibu itu adalah buat kali terakhir? Apakah kita akan melaksanakannya sambil lewa?
Tentunya kita akan melaksanakannya dengan terbaik. Justeru, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya, apabila hendak memulakan solat rasakan solat itu yang terakhir seperti sabdanya: “Lakukan solat kamu seolah-olah solat yang terakhir.”
Dengan semangat itulah, baginda dan para sahabatnya sentiasa solat dalam keadaan yang terbaik pada setiap masa, setiap ketika, di mana jua, hanya dengan merasakan mati boleh datang tiba-tiba!
Sehubungan dengan itu, Dr. Yusuf Qaradhawi menjelaskan bahawa antara tanda seseorang itu beriman dan mempunyai sifat kasih sayang adalah mencintai mati. Katanya: “Orang beriman bukan mencintai hidup sebagai cinta orang yang tamak kepada harta benda dunia, yakni cinta orang yang takut menamui kematian dan menghantarnya ke liang lahad, tetapi ia mencintai hidup supaya dapat menegakkan kewajipan kepada Allah di muka bumi dan mencintai mati kerana kematian itu akan membawanya segera menemui Tuhan.”

Itulah, tiga golongan dalam menghadapi kematian.
Soalnya, di mana kita? Syaitan laknatullah sentiasa menipu manusia lebih-lebih lagi dalam soal kematian. Salah satu caranya ialah dengan menipu daya ingatan manusia yang kononnya kematian masih jauh.
Dalam kitab Ihya Ulumuddin, dinukilkan seorang pemuda yang taat telah ditipu oleh syaitan bahawa detik kematiannya masih jauh. Pemuda itu dihasut untuk melakukan kejahatan terlebih dahulu, dan kemudian barulah bertaubat, sebelum saat kematiannya tiba. Pemuda itu pun melakukan kejahatan. Tiba-tiba, kematian datang tiba-tiba, dan dia mati dalam melakukan kejahatan tanpa sempat bertaubat.
Betapa ramai manusia yang lalai dengan angan-angan dan menganggap mati masih jauh. Padahal di hadapan mata sering kali berlaku bahawa kematian datang tiba-tiba. Sakit, tua, kemalangan adalah antara beberapa penyebab kematian. Namun, di sisi Allah, masih terlalu banyak perkara yang tidak dijangkakan yang boleh menyebabkan kematian.
Contohnya, bencana alam. Berapa ramai orang yang sihat, masih muda dan kuat, mati akibat bencana tsunami, letusan gunung berapi, bah besar, gempa bumi, dan sebagainya. Begitu juga dengan wabak penyakit yang menyerang tiba-tiba. Influenza A, Selesema Burung, Chikungunya (sekadar menyebut beberapa contoh), seharusnya semakin menyedarkan kita bahawa mati itu dating tiba-tiba.
Menyedari bahawa mati boleh datang tiba-tiba itu adalah satu kaedah untuk melembutkan hati. Kata Imam al-Ghazali: “Carilah hatimu di tiga tempat… Carilah hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika tidak kau temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru, kerana hakikatnya ketika itu kau tidak mempunyai hati!”
Safiyah berkata, “Seorang wanita berkata kepada Aisyah r.ha. mengenai hatinya yang keras. Kemudian Aisyah menjawab, ‘Banyak-banyaklah mengingati mati, tentu hatimu akan lembut.’ Wanita itu lalu melakukannya, hingga hatinya jadi lembut dan dia datang lagi mengucapkan terima kasih kepada Saiyidatina Aisyah r.ha.”
Mudah-mudahan kita dapat menteladani para salafussoleh yang sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Mudah-mudahan mati sentiasa ‘hidup’ di hati kita!

Tuesday, May 25, 2010

Dakwah dalam masyarakat yang telah terpengaruh pemikirannya...

Kasus Belenggu
www.iluvislam.com
Oleh : NurFazlin
Editor : naadherah





Kak Fara baru tiba di rumah. Dia baru pulang dari rumah Tok Leha, berdekatan dengan jambatan tasik bekas lombong di hujung kampung. Dia membantu Tok Leha di situ secara sukarela untuk mengajar budak-budak kampung mengaji al-Quran dalam tempoh cuti semester pengajiannya di universiti.

Kak Fara nampak benar-benar kelelahan. Wajahnya dimamah lesu sehingga kelopak matanya terbuka layu. Bajunya lencun bermandi keringat. Kak Fara buru-buru masuk ke bilik, sejurus kemudian keluar semula membawa tuala mandi dan terus masuk ke dalam bilik air.

Burr! Burr!

Curahan air berdebur menimpa lantai betul-betul jelas di telinga adiknya, Farid yang berusia 15 tahun. Kak Fara mandi? Eh, bolehkah mandi pada waktu ini? Kak Fara tak takut kurang pahala puasa? Soalan - soalan itu menerjah kotak akal Farid.

Tiba-tiba emak muncul dari dalam biliknya. Dia terpinga-pinga sambil anak mata memanah pintu bilik air.

"Kakak engkau mandikah, Farid?" soal emak sambil matanya membutang merenung Farid. Farid mengangkat bahu. "Apa kena kakak engkau ni? Kan makruh mandi siang-siang hari ni." Emak mengomel sambil menapak ke bilik air. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu itu sambil tangan memalu keras.

Dum! Dum! Dum!

"Fara,kau mandikah?"

"Ya, mak," jawab Kak Fara sambil terus menyiram tubuh. Kak Fara seperti dapat menerka apa yang berlegar-legar dalam fikiran emak. Selepas dua, tiga kali mencedok air, dia berhenti. Kak Fara tersembul di muka pintu dengan berkain batik dan tuala menutup tubuh.

"Yang kau mandi waktu dah nak dekat senja ni kenapa, Fara? Kan makruh. Tak takut batal puasa?" Emak bercekak pinggang. Dia memang pantang kalau anak-anaknya berbuat sesuatu menyalahi dasar pegangan dan amalannya selama ini.Kak Fara sekadar mengukir senyum. "Tak apa, mak. Tak batal puasa.

Makruh pun tidak. Fara mandi sebab terlalu letih dan dahaga. Fara rasa badan ni kering saja. Lepas ni Fara nak goreng cempedak pula. Bila terkena bahang api, tentu lagi letih rasa badan ni. Jadi, Fara mandilah."

Kak Fara merenung emak, lalu memandang pula kepada Farid.

"Kalau termasuk air ke dalam telinga, bukankah akan terbatal puasa?" balas emak.

"Tak batal, mak. Sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak akan batal." Kak Fara menjawab yakin.

"Tapi, kak. Bukankah mandi selepas matahari sudah tinggi atas kepala itu hukumnya makruh?" Farid tidak puas hati.

"Boleh, dik. Tak makruh pun. Kurang pahala puasa pun tidak. Sebabnya, Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala baginda sewaktu bulan puasa lantaran terlalu haus dan panas. Tak ada ayat al-Quran atau hadis yang menyebut makruh atau kurang pahala puasa. Dik, Islam tu rasional. Kita boleh mandi untuk tujuan mengembalikan kesegaran dan mahu meneruskan pekerjaan lain. Mungkin jika tidak mandi, badan kita terlalu lesu dan hanya mahu terbaring. Islam itu tidak suka umatnya hanya terlantar di katil dalam keadaan lemah 24 jam!"

Kak Fara turut membacakan terjemahan hadis yang menyebut tentang keadaan Rasulullah mencurahkan air ke kepala baginda itu. " Abu Bakar bin Abdul Rahman meriwayatkan: Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah SAW di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Ahmad dan Abu Daud."

Farid mengangguk-angguk mendengar penjelasan Kak Fara. Dia bertambah yakin setelah Kak Fara mengemukakan hadis. Sebab setahunya, hadis itu merupakan suatu hujah atau dalil yang kuat selepas al-Quran.


Farid menoleh melihat emak. Emak mendengus marah. Setahu aku, memang tak boleh mandi bila matahari dah tegak atas kepala. Makruh! Bukan aku yang kata, tapi Ustaz Deraman yang kata. Dia orang alim yang kaya ilmu, tentulah kata-katanya itu betul. Yang kau ni, baru saja aku hantar ke universiti, dah berlagak pandai nak ubah macam-macam!" Emak memicit kepala seraya berlalu ke dapur.

Farid kembali bingung. Jawapan Kak Fara kah yang betul atau emak yang salah? Dia mencerlung kakaknya itu, menagih diuraikan kekeliruan yang berselirat.

Kak Fara seperti memahami erti tagihan pandangan Farid. "Dik, al-Quran dengan al-Sunnah atau hadis, yang mana lebih tinggi autoritinya?"

"Al-Quran."

"Al-Sunnah, dengan maksud kata-kata Nabi, mana lebih tinggi kepercayaannya berbanding kata-kata sahabat?"

"Kata-kata Nabi, kak."

"Jadi, kata-kata Nabi dengan kata-kata ustaz biasa?" Kak Fara tersenyum. Farid juga turut mengulum senyum. Dia sudah mendapat jawapan.

2

SAHUR itu satu rumah terlewat bangun. Berbaki 10 minit sebelum bermula waktu imsak. Emak hanya meneguk air kosong dan menjamah Kurma Maryami. Ayah pula sempat mengepal nasi sejuk lalu dikunyah dengan sedikit telur dadar semalam. Farid melihat Kak Fara mencapai pinggan, lalu disenduknya nasi putih sejuk bersama-sama dengan kuah asam pedas ikan pari. Farid mengikut telatah kakaknya meski dia tahu waktu imsak hampir tiba.

"Eh, yang kau berdua makan nasi ni kenapa? Dah tak sempat ni. Lagi 5 minit saja tinggal. Mana sempat nak habiskan nasi tu," tegur emak. Ayah hanya mengerling sahaja sambil menghirup kopi pekat yang sempat dibancuh oleh emak.

Farid memandang Kak Fara. Kak Fara perasan itu. Sambil mengunyah, Kak Fara cuba menjelaskan. "Boleh, mak. Waktu imsak seperti yang tertulis dalam takwim solat tu hanyalah sebagai garis panduan agar kita sedar waktu sahur sudah hampir habis. Tapi yang sebetulnya, waktu sahur hanya akan tamat setelah masuknya subuh. Jadi, kita boleh makan selagi belum masuk waktu subuh, mak."

"Apa kau merepek ni? Takwim tu dikeluarkan oleh orang yang ahli. Jangan kau nak memandai-mandai mengubah hukum," marah emak.

"Saya tak merepek, mak. Saya juga tak mengubah hukum. Buktinya, Allah sendiri telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 187: Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai ( datang ) malam. Di samping itu, baginda Nabi juga telah bersabda: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar. Kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa kita boleh makan dan minum selagi mana belum tibanya waktu fajar, iaitu subuh." Kak Fara berhenti mengunyah.

"Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya, iaitu, boleh teruskan minum," tambah Kak Fara.

"Oh..." Ayah melopong mulut mendengar penjelasan Kak Fara. "Mah, ambilkan abang kuih seri muka dalam peti ais tu," pinta ayah kepada emak. Emak mencuka memandang ayah. Tetapi dia memotong juga kuih seri muka dalam pelengat untuk ayah.

Kak Fara dan Farid saling berbalas senyuman.



3

PINTU bilik diketuk perlahan. Kak Fara memulas tombol pintu biliknya. Farid di muka pintu. Matanya kemerah-merahan dan sembab.

"Baru bangun tidur ya?" Kak Fara meneka. Farid angguk.

"Ada apa ni?"

"Nak tanya kakak. Boleh tak gosok gigi waktu tengah hari macam ni? Farid bangun tidur, nak sembahyang. Rasa tak sedap pula dalam mulut selepas bangun tidur." Matanya masih terpisat-pisat dihurung sisa kantuk.

"Boleh, adikku. Rasulullah sendiri menggalakkan umatnya supaya bersiwak atau bersugi setiap kali hendak berwuduk, malah tidak terdapat larangan dalam al-Quran atau hadis tentang bersiwak pada bulan Ramadhan. Jadi, memang bolehlah memberus gigi pada bila-bila masa, terutamanya ketika hendak berwuduk, dik." Farid mengangguk perlahan mendengar penjelasan yang memuaskan hatinya.

"Eh, dik. Lepas asar temankan kakak pergi pekan sekejap ya. Nak beli ramuan untuk buat kuih raya," pinta Kak Fara.

"Okey. Kita pergi dengan kereta ayah ya, kak?"

Kak Fara mengangguk.

Usai solat asar, Kak Fara dan Farid ke pekan yang sedikit jauh dari kampung tempat tinggal mereka. Pekan berdekatan terlalu kecil dan tidak banyak barang-barang pilihan. Kebetulan, keadaan pekan pada waktu itu sangat sesak lantaran bertembung dengan orang yang baru pulang dari pejabat. Mereka hanya sempat berbuka puasa di dalam kereta dengan Kurma Iran yang dibeli oleh Kak Fara.

"Dik, kita terus ke masjid ya," unjur Kak Fara.

"Eh, kan kakak tak bawa telekung. Tak nak balik rumah dulu?"

"Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti terlepas pula waktu maghrib," Kak Fara terus membelok ke kawasan masjid berdekatan.

Setelah berwuduk, Kak Fara pergi ke almari telekung di penjuru masjid. Tidak ada. Semuanya sedang digunakan oleh para jemaah wanita yang hadir. Mereka sedang menunggu masuknya waktu isyak untuk bersama-sama bersolat isyak dan tarawih berjemaah. Kak Fara lantas menyarung stoking bersih yang sering dibawa dalam beg tangannya. Pergelangan tangan dikancing dengan butang agar tidak terbuka. Kerongsang kecil dilekatkan di belakang tudung bidang 60 yang dipakainya supaya tudung itu tidak terselak dan melurut ke tengkuk ketika sujud. Dia lalu mengangkat takbiratulihram.

Kelihatan banyak mata yang memandang aneh melihat Kak Fara bersolat tanpa telekung khas sembahyang. Dalam hati mereka, Kak Fara mungkin pengikut mazhab yang lain. Malah ada yang berfikiran, Kak Fara membawa bid'ah.

"Bolehkah sembahyang macam tu? Tak tutup sempurna," bisik seorang wanita yang sudah lanjut usia.

"Entah. Nak sembahyang, mestilah pakai telekung sembahyang. Tak sah sembahyang dia tu." Bisik seorang yang lain.

Selesai berdoa, Kak Fara tiba-tiba dikuit oleh seorang wanita yang agak gempal dan hitam manis. Wanita itu bersalaman sambil tersenyum mesra.

"Anak dari mana?" soalnya.

"Dari pekan tadi. Kebetulan, sesak pula di jalan. Tak sempat sampai rumah. Ini pun cepat-cepat singgah sini nak sembahyang, takut terlepas maghrib."

Wanita itu mengangguk.

"Maaflah, mak cik nak tanya. Kenapa sembahyang tak pakai telekung? Bolehkah macam tu?"

Kak Fara tersenyum. "Memang niat nak pakai telekung tadi, tapi semua dah habis dipakai. Saya pula tak bawa spare. Ya, boleh sembahyang tanpa telekung asalkan telah cukup syarat-syarat sahnya, termasuklah menutup aurat dan suci daripada hadas kecil dan besar."

"Oh..." Mulut wanita itu melopong mendengar penjelasan Kak Fara.

"Islam itu fleksibel, mak cik, iaitu kita tidak terikat pada adat atau budaya untuk melakukan ibadat. Contohnya, hukum bersolat itu adalah wajib kepada setiap orang, tapi Islam tidak menetapkan yang kita wajib memakai telekung sembahyang berwarna putih, hitam atau seumpamanya. Cuma, bila mana telah cukup syarat-syarat yang boleh menyebabkan solat itu sah, seperti menutup aurat dengan sempurna, maka teruslah bersembahyang. Kita tidak terikat pada telekung sembahyang, dan ia bukan syarat sah solat." Kak Fara cuba meleraikan kekeliruan yang sememangnya dia tahu telah mendarah daging dalam masyarakat.

"Ya, betul tu. Orang kita selalunya bila keluar dari rumah berpakaian tak cukup kain, atau menutup aurat, tapi tidak sempurna, itu tidak dipandang salah. Tapi bila nampak orang lain menunaikan sembahyang tanpa telekung pun mahu dipersoalkan, sedangkan syarat untuk bersembahyang itu sudah sempurna." Seorang gadis muda berwajahpersih tiba-tiba mencelah. Wanita tua tadi hanya tersenyum, sedang di dalam hatinya merasa terpukul dengan ujaran gadis muda itu.

Kak Fara hanya menyepi. Dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa dengan kata-katanya. Dia sekadar mahu berkongsi ilmu dan kefahaman yang dipelajari. Dia kemudian meminta diri untuk pulang.

Farid telah sedia menunggu di dalam kereta. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Kak Fara menceritakan situasi tadi kepada Farid. Farid juga tidak pernah terfikir akan hal itu. Selama ini memang dia menyangka bahawa 'uniform' solat itu wajib jika mahu bersembahyang.

"Baru Farid tahu..." ujarnya.

"Itulah masyarakat kita hari ini. Mudah terikut-ikut dengan kata-kata orang, pantang menyalahi adat kebiasaan walaupun ketika nak beribadat. Sedangkan Islam itu mudah sahaja. Cuba kita tengok dalam bab nak bersembahyang juga. Kalau tak ada telekung, ada yang tak sembahyang. Sanggup qada' di rumah sebab mentaliti mereka sendiri yang mewajibkan pemakaian telekung tu. Sedangkan dalam Islam tidak begitu. Cuma, jika ada telekung, sebaiknya gunalah telekung sebab ia lebih selesa dan menutup aurat dengan lebih sempurna pula."

"Betul tu, kak. Baru Farid perasan macam mana keadaan masyarakat hari ni. Tapi, Farid tak tahulah macam mana nak ubah mentaliti mak tu."

Kak Fara berpaling kepada Farid sambil menguntum senyum.

"Mm, mak tu kuat berpegang pada kata-kata orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat, contohnya ustaz. Tapi ustaz pun kadang-kadang bukan semuanya ahli dalam semua bidang, khususnya zaman sekarang. Ada yang mahir bab usuluddin, tapi lemah bab fikah. Yang kuasai al-Quran, tapi kontang hadis, sedangkan al-Quran dan hadis tu saling lengkap-melengkapi." Kak Fara diam sejurus. "Sesekali, Farid bukalah kuliah-kuliah ilmu kat tv tu. Halaqah atau al-Kuliyyah bagus juga. Ustaz-ustaz yang dijemput lazimnya mempunyai ilmu yang diperakui. Biar mak dengar. Moga-moga pemikirannya berubah."

"Betul juga tu. Kadang-kadang ustaz yang selalu dijemput kat surau kampung kita tu terlalu konservatif, sehinggakan perkara adat pun sudah dianggap syariat. Farid dah menilai semua tu bila dengar hujah kakak," balas Farid sambil memandang kosong kenderaan-kenderaan yang bertali arus.

"Perkara yang dah menjadi adat kebiasaan ni memanglah tak boleh diubah sehari dua, dik. Perlahan-lahan. Step by step kata orang putih. Kena bersabar dan hati-hati kalau nak tarik rambut dalam tepung," ujar Kak Fara sambil meneruskan pemanduan.

Farid diam. Dia terus meneladani kata-kata kakaknya itu. Ada kobaran semangat yang mengasak hati. Ada pancang tekad mulai tercacak padu.

Petikan daripada Tawajuh Cinta oleh Juwairiah Md. Jamil (Telaga Biru)

Monday, March 22, 2010

Anda Telah Bersedia untuk Bercouple Jika…..

Anda telah bersedia untuk bercouple jika…..
Niat anda memang untuk berkahwin dengan ‘si dia’ demi menjaga agama dan akhlak agar sentiasa terpelihara.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika….
Niat anda hanya untuk suka-suka atau ingin berseronok-seronok demi melayani kehendak nafsu dan perasaan semata-mata.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika….
Sudah punya kekuatan dan ketahanan diri untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan oleh agama seperti berdua-duaan di tempat yang sunyi, berpegangan tangan dan melakukan tindakan-tindakan yang membawa kepada ‘muqaddimah’ zina.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika….
Masih sukar mengawal nafsu dan tidak punya keyakinan untuk menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan negative seperti berpegangan tangan, menyentuh, dan…dot-dot.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika….
Sudah ‘lepas’ ilmu fardhu ain dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik dalam pengajian anda. Atau sebaik-baiknya sudah mempunyai pekerjaan yang tetap.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika….
Masih kandas ilmu fardhu ain. Mengaji Quran pun lintang-pukang dan punya masalah besar dalam pelajaran. Atau anda adalah penganggur yang masih tercari-cari pekerjaan.

Anda telah bersedia untuk bercouple jika….
Sudah istiqamah menjaga solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan dan sedang berusaha sedaya upaya menjadi muslim dalam ertikata yang sebenar.

Sebaliknya anda belum bersedia untuk bercouple jika….
Mengucap dua kalimah syahadah pun belum fasih, solat jarang-jarang, puasa kadang-kadang….aduhai~~!!